Jika anda seorang pencipta kandungan di YouTube, ini ada berita baik untuk anda. YouTube kini telah memudahkan untuk anda menyertai YouTube Partner Program dan mula memperoleh duit daripada iklan. Walau bagaimanapun, pada masa ini inisiatif ini terhad kepada beberapa negara terpilih sahaja.
Menurut halaman sokongan YouTube, kriteria baru itu sedang dijalankan di Kanada, United Kingdom, Korea Selatan, Taiwan dan Amerika Syarikat.
Syarat baharu untuk layak menyertai YouTube Partner Program adalah:
- Mempunyai 500 pelanggan;
- 3 muat naik dalam tempoh 90 hari yang lalu;
- dan sama ada 3,000 jam tontonan pada tahun lalu atau 3 juta tontonan Shorts dalam masa 90 hari lalu.
Sebelum ini, syarat-syaratnya ialah:
- Mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 pelanggan;
- dan sama ada 4,000 jam tontonan pada tahun lalu atau 10 juta tontonan Shorts dalam masa 90 hari yang lalu.
Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa kriteria untuk Malaysia masih kekal sama. Untuk menjadi sebahagian daripada YouTube Partner Program di Malaysia, ianya masih terikat dengan syarat-syarat lama. Untuk memohon, anda boleh mengakses YouTube Studio pada PC atau aplikasi anda, navigasi ke bahagian ‘Earn’ dan klik pada ‘Apply Now’ jika anda sudah memenuhi kriteria.
Anda boleh melihat kemajuan anda menerusi ‘Get Notified’ dan bahagian ‘Earn’ di YouTube Studio. Membina saluran YouTube yang berjaya dan terkenal memerlukan masa, usaha, dan komitmen yang tinggi.
Sumber: The Verge