Twitter terkenal sebagai platform media sosial yang berbentuk teks, tetapi platform itu telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan ciri seperti Spaces dan video yang lebih panjang. Nampaknya pengguna Twitter boleh menjangkakan lebih banyak lagi ciri berkaitan video akan tiba ke platform tersebut tidak lama lagi, seperti yang dikongsi oleh pereka produk kanan syarikat Andrea Conway.
Conway telah berkongsi tweet yang menunjukkan menu baharu apabila pengguna menonton video di Twitter. Menu itu akan mempunyai pilihan seperti kapsyen, kelajuan video, dan juga butang muat turun. Pengguna juga boleh berkongsi atau melaporkan video di platform itu.
Beberapa ciri itu sebenarnya sudah pun wujud di Twitter, tetapi ciri tersebut tidak dibuka kepada semua pengguna.
Usaha ini dilihat sebagai rancangan Twitter untuk menjadi platform utama kandungan video, dalam usaha mereka untuk bersaing dengan platform lain seperti TikTok dan juga YouTube.
Masih tidak pasti bila semua ciri baharu ini akan tiba ke Twitter, tetapi pengumuman dari salah seorang pereka utamanya sudah tentu merupakan berita baik.
Sumber: Twitter