Platform media sosial TikTok menafikan dakwaan bahawa ia menyekat kandungan pro-Palestin di negara ini.
Jurucakap TikTok, dalam e-mel kepada Reuters hari ini berkata, pihaknya memilih kesederhanaan dalam menentukan kandungan berita.
Selain itu, pengendali platform Facebook, Meta, juga mengeluarkan kenyataan sama dan menepis dakwaan tersebut yang dianggap tidak benar. Malah pihaknya tidak mengekang hak bersuara di platform miliknya.
“Dakwaan ini tidak berasas. Garis panduan komuniti kami berpegang kepada kesaksamaan kepada semua kandungan TikTok, dan kami komited untuk sentiasa melaksanakan dasar bagi melindungi komuniti,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kelmarin mendedahkan terdapat bukti bahawa TikTok secara sistematik telah menurunkan kandungan berkaitan konflik Palestin-Israel dari Malaysia.
Beliau dilaporkan berkata, perkara itu terbukti apabila ramai pengguna platform berkenaan telah mengadu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai kandungan dan siaran langsung yang dimuat naik mereka telah diturunkan atau disekat.
Fahmi mendakwa, beliau mempunyai bukti kerana video ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Himpunan Malaysia Bersama Palestin berserta dengan berapa gambar dari Gaza, tidak mempunyai sebarang unsur yang melanggar garis panduan komuniti, tetapi tetap disekat.
Fahmi juga berkata, beliau mengarahkan MCMC untuk membuat teguran keras kepada TikTok dan Meta berhubung isu itu.
Meta dalam maklum balasnya semalam, mengatakan dakwaan itu ‘tidak benar’ dan ia tidak mengekang hak bersuara di laman Facebook miliknya.
Sumber: Buletin TV3