Tesla memperlihatkan Tesla Bots yang telah dipertingkatkan dalam video terbaharu mereka, menampilkan casis yang baru, serta keupayaan berjalan yang lebih lancar berbanding perkongsian mereka sebelum ini.
Robot itu kini boleh mengambil dan mengecam objek. Elon Musk menunjukkan video itu semasa mesyuarat ahli pemegang saham, menyebut bahawa pasukan pembangun telah lengkap memasang pada malam sebelumnya.
Pada mula ia diperkenalkan pada acara AI Tesla tahun lepas, humanoid Tesla Bot menghadapi sedikit masalah untuk berjalan dan melakukan tugas manual. Walau bagaimanapun, video terbaharu menunjukkan pergerakan yang lebih bebas, walaupun pada kadar perlahan, menunjukkan model itu telah hampir kepada peringkat pengeluaran.
Selepas tujuh bulan pembangunan, nampaknya humanoid Tesla semakin menjadi produk yang realiti, jauh berbeza dari apa yang kita lihat pada awal pelancaran mereka.