Telegram tetap bertegas untuk tidak bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), dengan mengatakan ia tidak akan mengambil bahagian dalam “sebarang bentuk penapisan politik”.
Jurucakap Telegram, Remi Vaughn memberitahu bahawa syarikat itu sudah pun melakukan penapisan terhadap kandungan dalam platform mereka, termasuk penjualan bahan haram, serta pornografi.
Beliau turut berkata, bahawa moderator syarikat itu sentiasa memantau secara proaktif segala ruang awam dalam Telegram.
Vaughn menambah lagi bahawa aduan pengguna yang diterima melalui aplikasi dan e-mel aduan [email protected] – akan sentiasa diperiksa bagi memastikan segala kandungan yang melanggar syarat perkhidmatannya akan dibuang.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil, berkata Telegram mungkin berdepan tindakan jika terus memilih jalan untuk tidak bekerjasama dengan kementeriannya.
Beliau menambah lagi bahawa kementeriannya telah berusaha untuk bekerjasama dengan Telegram sejak Januari, berikutan beberapa aduan pornografi dan penjualan dadah di platform permesejan itu.
Sumber: Free Malaysia Today