Syarikat permainan video Korea Selatan NX3 Games merancang untuk menubuhkan ibu pejabat serantaunya di Kuala Lumpur, pada tahun 2024.
Syarikat yang terkenal dengan permainan mudah alih popularnya seperti “ROHAN M” dan “AVATARA Online”, sedang mengembangkan operasinya di Asia Tenggara dan Malaysia dilihat sebagai lokasi yang strategik kerana komuniti permainannya yang kukuh dan digital yang semakin berkembang.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Kandungan NX3 Games, Terrence Kim semasa pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Fahmi Fadzil.
“Kami teruja dengan peluang untuk berkembang di Kuala Lumpur. Kami masih lagi di peringkat perbincangan tetapi petunjuknya sudah ada.
“Menteri, MDEC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang membantu kami untuk memuktamadkannya secepat mungkin,” katanya.
Ibu pejabat serantau akan menumpukan pada penerbitan permainan, penyelidikan dan pembangunan serta reka bentuk kandungan. Ia dijangka mewujudkan ratusan peluang pekerjaan di Malaysia.
Fahmi Fadzil mengalu-alukan pengumuman itu, dengan mengatakan bahawa ia adalah rangsangan besar bagi ekonomi digital Malaysia.
Sementara itu, Fahmi juga mengadakan lawatan ke syarikat gergasi permainan video Korea Selatan, Smilegate, yang turut berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama mereka di Malaysia.
Menerusi perbincangan bersama pengurusan tertinggi Smilegate yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sung Joon Ho, Fahmi turut menjemput syarikat tersebut memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan sekiranya ingin mengembangkan perniagaan mereka.
“Setakat ini, Smilegate mempunyai hubungan kerjasama yang kukuh dengan MDEC dan turut bertemu ketika persidangan Game Developers Conference 2023, baru-baru ini.
“Insya-Allah usaha sama ini akan diteruskan, sekali gus melonjakkan lagi sektor ekonomi digital di Malaysia,” katanya.
Penubuhan ibu pejabat studio permainan merupakan perkembangan penting bagi industri permainan Malaysia. Ia adalah petanda bahawa negara ini akan menjadi destinasi yang lebih menarik untuk syarikat permainan video, dan ia dijangka memberi kesan positif kepada pertumbuhan sektor itu.
Sumber: Berita Harian