Menurut kolumnis Apple di Bloomberg, Mark Gurman berkata, stor rasmi Apple yang pertama di Malaysia akan dibuka pada sekitar bulan Februari 2024.
Berita ini menyusul dalam rancangan Apple untuk mengembangkan kweujudan stor mereka di peringkat global, dengan 15 stor baharu di rantau Asia Pasifik, 5 di Eropah dan Timur Tengah, dan 4 cawangan tambahan di Amerika Utara menjelang 2027.
Tambahan pula, Apple menyasarkan untuk memindah atau mengubah-suai 6 stor di Asia, 9 di Eropah dan 13 di Amerika Utara. Apple juga sedang bercadang untuk mempunyai 53 stor baharu dalam tempoh empat tahun akan datang.
Selepas berjaya membuka stor pertamanya di India pada April 2023, Apple kini merancang untuk membuka stor baharu di tiga lokasi di India, dan stor pertamanya di Malaysia. Selain itu, Apple akan membuka stor baharu di Stesen Janakuasa Battersea yang baru dilancarkan di London, yang akan berfungsi sebagai ibu pejabat Apple di UK.
Stor Apple yang akan datang di The Exchange TRX di Kuala Lumpur, dijangka dibuka pada Februari 2024, berikutan pembukaan dua stor baharu di Korea Selatan pada Disember 2023.
Dengan Asia-Pasifik menjadi tumpuan utama Apple, yang telah menjana kira-kira USD$130 bilion kutipan hasil tahun lepas, syarikat itu menyasarkan untuk mengukuhkan kehadirannya di rantau ini. Pada masa ini, Apple sudah mempunyai tiga stor di Singapura, dan dua di Thailand.
Sumber: Bloomberg