Kajian yang dijalankan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mendapati naratif perkauman dan agama mendominasi media sosial semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.
Sebanyak 91,417 mesej berkaitan kaum (66,933) dan agama (24,484) dikenal pasti, dengan ahli politik menjadi penyumbang utama kepada naratif ini.
Wathslah Naidu, Pengarah Eksekutif CIJ, melahirkan kebimbangan terhadap bilangan komen yang menyinggung, mendiskriminasi dan menghasut yang tinggi di media sosial.
“Apa yang merisaukan ialah bagaimana kandungan tahap dua berbaur rasis, stereotaip dan berat sebelah semakin dinormalisasikan yang mana seolah-olah tiada masalah untuk melabel wanita gemuk, memanggil parti seperti DAP sebagai ‘babi’ dan seumpamanya.
“Ada banyak hantaran berbaur perkauman, selain yang menggelar ahli politik wanita dengan panggilan kurang menyenangkan,” katanya pada sidang media pelancaran hasil laporan kajian berkenaan pada Selasa.
Untuk menangani isu ini, CIJ mencadangkan penubuhan suruhanjaya bebas untuk mengkaji punca naratif berbahaya dan ucapan benci di media sosial dan menanganinya dengan berkesan.
Kajian itu dipantau menerusi 97 pihak, termasuk 49 ahli politik, 13 parti politik, 16 media, tiga agensi kerajaan, dan 16 pemimpin pendapat.
Kajian ini turut termasuk komen netizen di Facebook, Twitter, YouTube, dan TikTok. Siaran yang dipantau memfokuskan kepada lima isu: kaum, agama, institusi diraja, jantina dan LGBTIQ, serta warga asing dikategorikan kepada tahap yang berbeza.
Sumber: Centre for Independent Journalism (CIJ) Malaysia