Google telah mengumumkan peralihan dasar yang akan memberi kesan kepada pengguna WhatsApp pada peranti Android. Mulai awal tahun hadapan, backup chat WhatsApp akan dimasukkan dalam had storan cloud akaun Google pengguna.
Pada masa ini, Google menyediakan 15GB storan percuma rangkaian perkhidmatannya, termasuk Google Drive, Gmail dan Google Photos. Perubahan ini bermakna bahawa servis backup WhatsApp akan bersaing untuk ruang storan terhad ini, yang berpotensi menjejaskan pengguna yang secara aktif backup chat dan fail media mereka.
“Backup WhatsApp pada Android akan terus berfungsi selagi mana anda mempunyai ruang storan yang mencukupi dalam akaun Google anda. Jika anda mencapai had storan anda, anda perlu mengosongkan ruang tersebut dengan mengalih keluar simpanan data yang anda tidak perlukan lagi,” Google menyatakan dalam pengumumannya.
Untuk membantu pengguna mengurus storan mereka dengan berkesan, Google mengesyorkan menggunakan sistem pengurusan storan mereka untuk mengenal pasti dan mengalih keluar fail atau foto yang besar. Selain itu, pengguna boleh memadam terus item daripada WhatsApp untuk menuntut semula ruang dalam storan akaun dalam talian mereka.
Perubahan dasar ini pada mulanya akan dilancarkan kepada pengguna Beta WhatsApp pada November 2023 dan akan berkembang secara beransur-ansur kepada semua pengguna Android lain pada awal tahun 2024.
Bagi mereka yang mempunyai akses kepada langganan Google Workspace melalui tempat kerja atau institusi pendidikan mereka, kuota storan mereka kekal tidak terjejas oleh perubahan ini.
WhatsApp juga telah melaksanakan sistem pemberitahuan untuk memaklumkan pengguna tentang peralihan dasar yang akan datang. Tiga puluh hari sebelum perubahan berkuat kuasa, pengguna akan menerima notifikasi pemberitahuan dalam tetapan Chat Backup. Selain itu, pengguna boleh memantau penggunaan storan WhatsApp pada peranti mereka dengan menavigasi ke Settings > Storage and data > Manage storage.
Sumber: Android Help