Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, telah menggesa Kongres AS untuk mewujudkan peraturan khusus untuk kecerdasan buatan (AI) bagi mengawal ancamannya.
Semasa sesi lima jam dengan wakil AS, Altman berdepan dengan soalan yang sengit mengenai OpenAI’s ChatGPT dan potensi kesannya terhadap manusia. Beliau membandingkan teknologi tersebut seperti mesin cetak dan bom atom.
Altman secara terbuka turut menyatakan kebimbangannya tentang potensi bahaya yang boleh berlaku kepada seluruh dunia apabila menggunakan teknologi dibangunkan syarikatnya. Sesi ini menandakan permulaan siri perbincangan yang bertujuan untuk mewujudkan garis panduan untuk AI, proses yang menurut wakil AS sepatutnya berlaku beberapa tahun lalu.
“Jika teknologi ini memudaratkan, ia boleh menjadi sesuatu yang agak berbahaya justeru, kami mahu lantang bersuara mengenainya. Kami mahu bekerjasama dengan kerajaan untuk mengelakkan perkara itu daripada berlaku,” kata Altman.
Objektifnya bukan untuk mengenakan peraturan ke atas AI, sebaliknya untuk memupuk dialog untuk menjadikan ChatGPT dan model serupa lebih telus sambil memastikan risikonya didedahkan.
Walaupun Altman mengakui bahawa AI pasti akan menggantikan pekerjaan tertentu, dia juga menyatakan keyakinan bahawa teknologi itu akan menjana kerjaya baharu yang dipercayai akan menjadi lebih baik.
“Saya percaya bahawa akan wujudnya pekerjaan yang jauh lebih baik di satu sudut lain. Bagi saya, ia akan mengautomasikan sepenuhnya sejumlah pekerjaan sekali gus mencipta pekerjaan baharu yang kami percaya adalah lebih baik,” ujarnya.