Pemilik TikTok, ByteDance dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menjual anak syarikat permainannya, Moonton Technology, dua tahun selepas memperoleh studio tersebut yang berpangkalan di Shanghai dengan harga $4 bilion. Potensi penjualan itu berlaku dalam usaha penstrukturan semula syarikat ByteDance untuk menyelaraskan operasi dan memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya.
Moonton, pembangun permainan mudah alih popular Mobile Legends: Bang Bang, membawa ByteDance ke dalam pasaran permainan video yang bernilai $187 bilion. Walau bagaimanapun, ketidakupayaan studio untuk meniru kejayaan Mobile Legends dengan tajuk-tajuk berikutnya telah melemahkan semangat ByteDance dalam sektor permainan.
Menurut sumber, ByteDance telah pun dalam perbincangan dengan bakal pembeli, iaitu sebuah firma yang berpangkalan di Saudi. Walau bagaimanapun, perbincangan ini masih di peringkat awal, dan kemungkinan perjanjian itu berjaya atau tak masih tidak diketahui.
Prestasi Moonton yang kurang memberangsangkan adalah faktor utama yang menyumbang kepada keputusan ByteDance untuk mempertimbangkan penjualannya. Selain itu, ByteDance telah menghadapi kemunduran dalam usaha berkaitan permainan lain.
Pada tahun 2022, ByteDance membubarkan unit pembangunan permainannya yang berpangkalan di Shanghai, 101 Studio. Bulan ini, syarikat itu mengumumkan rancangan untuk menstruktur semula unit realiti maya (VR)nya, Pico, untuk fokus pada perkakasan sambil mengurangkan kedudukan berkaitan perisian dan permainan.
Moonton telah menggaji lebih 1,600 individu di seluruh dunia dan mengekalkan operasinya di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Hong Kong, selain di negara China.
Sumber: Reuters