Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengecam tindakan segelintir penyokong Harimau Malaya yang mempersoalkan prestasi pasukan negara ketika menentang Kyrgyzstan Khamis lalu.
Dalam satu kenyataan di media sosial, baginda yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), menasihatkan penyokong agar tidak mematahkan semangat pemain yang telah memberikan segalanya untuk membantu pasukan kebangsaan.
“Sudah menang syukur sahajalah. Lagi nak bising-bising menuding jari sini sana menjatuhkan semangat pemain negara sendiri. Semua pemain sudah beri segalanya, result (keputusan) pun alhamdulillah.
“Awak nak jadi coach (jurulatih) ini kerja dalam industri bola sepak ke? Ada menang apa-apa ke? Support (sokong) sahaja pasukan kebangsaan dan diam lebih baik,” tulis Tunku Ismail yang membalas komen di laman Instagram ekorharimaumalaya.
Komennya itu dibuat selepas sebilangan penyokong tular di media sosial mengkritik prestasi beberapa pemain Harimau Malaya ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Khamis lalu, Harimau Malaya mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas bangkit daripada ketinggalan 3-1 untuk menewaskan Kyrgyzstan 4-3 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon menduduki tangga kedua Kumpulan D berkongsi tiga mata dengan pendahulu, Oman, yang menewaskan Taiwan 3-0.
Perlawanan seterusnya pada Selasa nanti akan menyaksikan Harimau Malaya berdepan pasukan ranking ke-152 dunia, Taiwan, di Stadium Municipal, Taipei.
Sumber: Instagram