Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri telah dipilih secara rasmi sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2023. Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan hanya menerima satu bidaan daripada JDT sebelum proses bidaan ditutup pada 24 Mei lalu.
“Dalam tempoh bidaan dibuka pada 19 Mei hingga 24 Mei, hanya JDT mengemukakan permohonan di mana tiada sebarang bidaan diterima MFL daripada kelab lain atau memohon lanjutan tempoh bidaan meskipun peringatan sudah diberikan kepada semua kelab,” menurut kenyataan dimuat naik di Facebook MFL, hari ini.
Untuk melayakkan diri untuk bidaan, kelab yang dinamakan dan venue perlawanan perlu memenuhi syarat-syarat tertentu yang digariskan dalam Manual Liga Malaysia 2023. Syarat-syarat ini termasuk sokongan daripada kerajaan tempatan dan pihak berkuasa, langkah keselamatan yang mencukupi, kesediaan stadium dan kemudahan untuk menjadi tuan rumah perlawanan akhir yang berskala besar, padang yang diselenggara dengan baik, dan keupayaan untuk mengendalikan pelbagai keadaan cuaca dan keperluan pencahayaan.
Keputusan untuk memilih SSI dibuat selepas mempertimbangkan perkembangan semasa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), yang tidak boleh digunakan untuk perlawanan akhir Piala FA 2023 yang dijadualkan pada 22 Julai ini.
Sumber: Facebook