Peminat Formula Satu (F1) tempatan sentiasa nantikan kembalinya sukan itu ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun kos penganjuran perlumbaan yang tinggi, dengan anggaran kos lebih RM200 juta setahun, terus menghalang impian tersebut. Presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir, mendedahkan rancangan penganjuran F1 masih lagi dalam penelitian, dan boleh membuat kemunculan semula ke SIC dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang jika ada penaja korporat yang sanggup menanggung kos penganjurannya.
“Kita dari segi jadi tuan rumah tiada masalah, persoalannya ialah siapa yang akan bayar dan adakah kita mampu atau tidak. Saya tak tahu kosnya sekarang, tetapi pastinya lebih tinggi ketika kita berhenti (menganjur) pada 2017.
“F1 lebih popular sekarang, ia mempunyai penonton baharu selepas siri Netflix ‘Formula 1: Drive to Survive’ dan lebih banyak negara membida untuk (menganjurkan) perlumbaan itu bagi menonjolkan negara mereka,” katanya kepada pemberita selepas Rumah Terbuka Aidilfitri MAM, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Sejak acara sulungnya pada 1999, Malaysia sudah menjadi tuan rumah perlumbaan F1 sejak tahun 1999, namun terpaksa menghentikannya pada 2017 kerana nilai pulangan yang semakin berkurangan. Walaupun sudah enam tahun penganjuran perlumbaan itu tidak berlangsung, SIC masih terdapat tempat di hati peminat dan pemandu F1.
“Kita dengar komen daripada pemandu-pemandu sendiri, iaitu Sepang adalah salah satu trek mencabar yang mereka mahu ada semula dalam kalendar (perlumbaan). Kami mempunyai hubungan yang baik dengan pihak penganjur, kami mengenali mereka sejak 1996 semasa kami memulakan perbincangan untuk menganjurkan perlumbaan itu, jadi hanya tunggu masa sahaja,” katanya.
Keutamaan MAM kini adalah memupuk bakat akar umbi, dan memastikan penganjuran dalam keadaan selamat serta kesejahteraan pelumba dan penonton terjamin bagi semua acara sukan permotoran di negara ini.
“Saya sudah bertemu beberapa pemegang taruh untuk sukan permotoran, saya percaya industri ini masih mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan. Namun, kita perlu memastikan keselamatan menjadi aspek utama,” katanya kepada pemberita.
Sumber: Astro Awani