Siri animasi Marvel, What If…?, kembali semula untuk musim kedua, menjanjikan penerokaan lebih pelbagai dalam multiverse Marvel Cinematic Universe.
Disney+ telah melancarkan treler yang mengesahkan tarikh tayangan perdana untuk Musim 2, yang dijadualkan tiba pada 22 Disember 2023. Musim tersebut akan mempunyai sembilan episod yang berlangsung selama sembilan hari berturut-turut.
What If…? membawa penonton melalui multiverse yang luas, melihat senario yang mungkin berlaku sekiranya detik penting dalam sejarah MCU berubah. Siri ini mencabar persepsi penonton, mengkaji semula jalan cerita ikonik dan memperkenalkan perspektif baharu tentang watak yang kita kenal dan minat.
The Watcher, disuarakan oleh Jeffrey Wright, berfungsi sebagai narator dalam siri, membawa penonton melalui alam kemungkinan yang luar biasa. Siri ini menampilkan barisan bintang MCU yang memainkan semula peranan ikonik mereka, termasuk Benedict Cumberbatch, Hayley Atwell, Michael B. Jordan, Chris Hemsworth, Tom Hiddleston, Samuel L. Jackson, dan mendiang Chadwick Boseman, yang sumbangannya masih ada dalam musim baru ini.
Bryan Andrews kekal sebagai pengarah untuk musim ke-2, bersama-sama dengan ketua penulis A.C. Bradley, dan kedua-duanya dikreditkan sebagai penerbit eksekutif bagi siri ini juga. Musim ketiga sebenarnya telah pun dalam pembangunan sebelum keluaran musim ke-2 ini lagi.