Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan kedai nasi ayam claypot di Sri Petaling yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu tidak mempunyai sijil halal yang sah.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Jakim berkata kedai itu bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan jabatan itu tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk kedai tersebut.
Kenyataan itu turut berkata, pengguna Islam dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam memilih premis makanan yang ingin dikunjungi dan memastikan premis yang dipilih adalah pemegang SPHM yang sah.
Pengguna boleh mengetahui produk dan premis makanan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia dengan melayari Portal Rasmi Halal Malaysia di https://www.halal.gov.my/v4/.
Jakim juga berkata, pengguna boleh mengikuti penjelasan berhubung isu halal yang tular menerusi laman Facebook Bahagian Pengurusan Halal.
Kedai nasi ayam claypot di Sri Petaling dipercayai ditutup buat sementara waktu berikutan penularan isu itu.
Sumber: Facebook