Universal Music Malaysia mengecam sekeras-kerasnya segala bentuk keganasan, bertentangan dengan kenyataan mengelirukan yang dibuat oleh Universal Music Group (UMG) sebelum ini.
Hermond Cheng, Pengarah Artis Repertoir (A&R) dan Pemasaran Universal Music Malaysia menekankan, bahawa syarikatnya mementingkan keamanan dan keharmonian serta tidak menyokong sebarang konflik yang mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
“Sebenarnya itu ialah kenyataan akhbar yang lama. Kami (Universal Music Malaysia) menentang keganasan. Itu ada dinyatakan di bahagian bawah kenyataan akhbar tersebut.
“Kami tidak menyokong apa-apa peperangan. Dalam muzik kami mahu semua orang aman damai,” katanya.
Cheng membuat kenyataan ini semasa acara pra-dengar untuk album Dolla bertajuk “Klasik Baharu,” yang diadakan di Petaling Jaya semalam.
Menjawab gesaan memboikot artis di bawah Universal Music Malaysia, Cheng melahirkan harapannya agar tindakan sedemikian mesti dihentikan, kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan artis tempatan.
“Tak perlukah boikot artis kami kerana semua orang pun mencari rezeki. Jadi mengapa kita boikot?
“Saya bersyukur artis-artis di bawah naungan Universal Music Malaysia tidak diboikot oleh peminat-peminat mereka,” katanya lagi.
Sebelum ini, UMG telah mencetuskan kontroversi dengan catatan Instagram yang secara tegas mengutuk tindakan Hamas sebagai “biadab.” UMG seterusnya melabelkan Hamas sebagai organisasi pengganas yang menyemarakkan anti-Semitisme dan lain-lain bentuk ketaksuban.
Pendirian Universal Music Malaysia menentang keganasan dan komitmennya untuk mempromosikan keamanan selaras dengan nilai ramai rakyat Malaysia dan komuniti muzik global.
Sumber: Harian Metro