Datuk Seri Siti Nurhaliza, penyanyi terkenal tanah air, menyatakan keterbukaannya kepada peniaga untuk menggunakan gambar atau namanya untuk memasarkan produk mereka.
Bagaimanapun, dia mempunyai satu syarat utama: Siti hanya membenarkan imej dan namanya digunakan jika dia benar-benar telah menggunakan produk itu sendiri.
“Kalau dia cari rezeki yang halal, tidak salah guna gambar saya. Maknanya memang saya beli dekat dia, jadi dia nak claim saya pernah beli, memang betul saya beli… saya izinkan.
“Tapi kalau bukan saya beli, bukan saya pegang produk dia, bukan saya guna produk berkenaan, saya sangat tak setuju. Lebih-lebih lagi apabila mereka menyunting wajah saya dan superimposed dengan produk lain.
Siti baru-baru ini berkongsi pendapatnya mengenai penggunaan nama dan wajahnya oleh para peniaga. Namun begitu, dia telah menemui cara tersendiri untuk menyokong peniaga, terutamanya mereka dalam jualan makanan.
“Tapi macam makanan ke saya memang promote. Mana saya beli dan makan memang saya tunjuk.
“Peminat pun tahu apa produk yang saya makan dan saya bantu bisnes mereka. Tapi kalau produk-produk yang lain tu kena hati-hati lah,” katanya.
Mengimbas kembali penglibatannya dalam acara baru-baru ini, Siti melahirkan rasa gembira kerana berkongsi ilmu dan memberi inspirasi kepada pelajar yang masih belum merasai dunia sebenar.
“Dulu pun saya seorang pelajar, dapat cabaran lebih awal. Saya bergelar anak seni sejak usia saya 16 tahun sehinggalah sekarang saya sudah 44 tahun. Saya berkongsi apa yang boleh dijadikan inspirasi. Sebagai manusia, selagi ada ilmu, support system yang bagus dan kesungguhan, kita boleh terus mencapai kejayaan,” tutupnya.
Peluang ini membolehkan beliau memberi impak positif dan menyemarakkan semangat di kalangan pelajar muda.
Sumber: Gempak