Pelawak dan usahawan Shuib akan menjawab dakwaan rangkaian kedai minumannya, Bubble Bee, gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh ditetapkan petang ini.
Shuib enggan mengulas mengenai surat terbuka yang dikongsi individu tanpa nama di TikTok sehingga ia tular di media sosial.
“Berkenaan perkara itu saya akan jelaskan petang ini. Saya mohon maaf kerana tidak dapat beri sebarang kenyataan sekarang ini,” katanya.
Surat terbuka itu mendakwa Bubble Bee memotong bahagian gaji pekerja untuk caruman KWSP setiap bulan, tetapi tiada sebarang transaksi berlaku pada akaun pekerja.
“Sampai bila tak nak bayar KWSP pekerja? Setiap bulan dalam slip gaji untuk EPF ditolak sedangkan dalam I-Akaun KWSP tiada transaksi kemasukan duit dibuat. Ke manakah duit yang hilang hasil daripada penolakan EPF di dalam setiap slip gaji pekerja tu?
“Pekerja bukan seorang dua tapi beratus. Benda ini menjadi tanda tanya semua orang yang bekerja di bawah syarikat anda. Masuk sahaja tahun 2023 tiada sebarang pembayaran KWSP dibuat. Kalau ada pun hanya satu bulan atau pun dua bulan sahaja, itu pun sekadar mengaburi mata pihak yang lain.
“Sekarang ini dah hampir ke penghujung tahun, ke manakah bayaran bulan bulan yang selebihnya itu ya? Sejak tahun 2021 sehingga 2022 tiada sebarang isu mengenai pembayaran KWSP ni tapi masuk je 2023 hal ini menjadi semakin melampaui batas,” tulisnya.

Individu itu juga mendakwa syarikat itu lewat membayar gaji pekerja dan telah memfailkan aduan di pejabat KWSP dan Jabatan Tenaga Kerja.
Lebih mengejutkan, individu itu turut menyertakan tangkapan skrin yang menunjukkan mereka telah disekat daripada mengikuti akaun Shuib.
Sumber: Harian Metro