Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah mengambil tindakan terhadap iklan jualan semula tiket Coldplay di media sosial. Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mengeluarkan arahan untuk mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan ulat tiket.
Semalam, Fahmi menulis tweet tentang menangani penjualan semula tiket konsert Coldplay dengan harga yang tidak masuk akal. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, turut terlibat berikutan urusan harga tiket terletak di bawah bidang kuasa kementerian mereka.
Ini keterlaluan – isu tiket di bawah @KPDN_HQ . InsyaAllah saya bangkit dgn @MyDSA_official https://t.co/J88h3bAEUZ
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) May 17, 2023
Fahmi mendapati penjualan semula tiket Coldplay pada harga terlalu tinggi sehingga RM43,200 di media sosial adalah keterlaluan. Pihak penganjur melaporkan penjualan tiket konsert yang diadakan pada 16 dan 17 Mei lepas telah habis dijual dalam tempoh yang singkat.
Ekoran itu terdapat individu mengambil kesempatan menyiarkan iklan di media sosial mahu menjual semula tiket berkenaan dengan harga tinggi.