Khairul Aming, seorang pempengaruh media sosial popular yang terkenal dengan kandungan masakannya, telah dinobatkan sebagai Creator Of The Year di Anugerah TikTok Malaysia 2023.
Majlis anugerah yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur itu dihadiri oleh beberapa nama terbesar dalam industri hiburan Malaysia, antaranya Datuk Yusof Haslam, Bell Ngasri, Amber Chia, dan Farah Ann Abdul Hadi.
Khairul yang juga seorang usahawan berkata, dia berterima kasih atas sokongan keluarga, rakan, dan para peminatnya. Beliau juga menasihati pencipta kandungan muda supaya tidak mengabaikan pelajaran mereka.
@khairulaming Terima kasih di atas sokongan anda semua. Ini award pertama saya dapat selepas 8 tahun membuat digital content. Award ni untuk korang semua 🥺❤️ #TikTokAwardsMY #ForYouMalaysia ♬ original sound – Khairulaming
“Kepada anak muda yang menceburi bidang ini, kalau masih bersekolah, habiskan belajar dahulu supaya apabila tamat, boleh jadi pencipta kandungan berkualiti.
“Pencipta kandungan ini bukan sekadar tular sahaja, tapi perlu ada adab dan kebolehan menyelesaikan masalah,” katanya.
Khairul menewaskan lima lagi finalis untuk memenangi anugerah itu, termasuk @bossjames_eo; Lawyer Gandhi (@lawyerghandi); Auntie Purple (@auntiepurple248); Ceddy (@ceddyornot) dan Sally (@sallywhoo).
Anugerah TikTok Malaysia 2023 ialah acara anugerah terbesar yang dianjurkan oleh platform media sosial TikTok, bagi mengiktiraf pencipta kandungan yang merangkumi pelbagai latar belakang dan bidang. Mereka mempamerkan kreativiti mereka melalui penghasilan kandungan yang menyeronokkan dan seterusnya memberi impak positif kepada semua lapisan masyarakat.
Majlis anugerah itu dihoskan oleh Izzue Islam, Sherry Alhadad, dan Amelia Henderson. Penonton turut dihidangkan dengan persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Dolla, Marsha Milan, Ernie Zakri, Alyph, Hael Husaini, Gaston Pong, dan ramai lagi.
Sumber: TikTok