Dalam temu bual di program Melodi pada hari Ahad semalam, pengarah filem legenda, Yusof Haslam, merayu kepada anaknya Syamsul Yusof supaya melupakan perselisihan mereka dan berbaik dengan keluarganya.
Yusof Haslam, 69, berkata, sebagai bapa, dia percaya Syamsul akan berasa lebih tenang dan gembira jika memilih untuk memaafkan dan meneruskan kehidupan. Dia turut mendedahkan bahawa dia dan isteri, Datin Patimah Ismail sentiasa mendoakan Syamsul dan tidak menyimpan dendam terhadapnya.
“Kami akan mencecah usia 70 tahun pada tahun hadapan. Ramai rakan seperjuangan saya telah pergi. Kepada anak saya, jangan tunggu ayah awak tiada, baru awak nak cari dia!,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof berkata, meskipun merindui Syamsul namun dia dan isteri sudah reda dengan sikap pengarah itu yang tidak mahu berjumpa dengan mereka lagi. Walaupun Syamsul bersikap dingin, Yusof memberitahu dia dan isterinya masih sangat menyayangi anak mereka.
“Mestilah rindu, kita sayang anak kita, kan? Tiada istilah benci anak sendiri tapi saya sudah letih dengan semua ini,. Jiwa saya dan isteri sudah tenang dan terima semua yang berlaku ini,” katanya lagi.
Yusof turut berkongsi, kali terakhir dia bercakap dengan Syamsul adalah melalui telefon kira-kira setahun lalu, ketika ibu mertuanya sakit.
“Ibunya ada hubungi dia, masa itu saya ada berbual sekejap. Tapi sebelum itu, dah bertahun dia tak balik. Tak apa saya tak marah, tak anggap bukan-bukan,” katanya.
Yusof berkata, dia menghormati keputusan anaknya itu, namun dia berharap satu hari nanti Syamsul akan reda dengan perselisihan mereka dan bersatu semula dengan keluarga.
“Kalau dia tak nak balik pun, terserah. Tepuk dada tanya selera,” ujarnya.
Sumber: mStar