Terdapat spekulasi bahawa Datuk Seri Eizlan Yusof, seorang pelakon, pengarah, dan penerbit terkenal, akan menyertai Perikatan Nasional (PN) di bawah tiket PAS.
Spekulasi ini timbul selepas gambar beliau bersama pemimpin dari PN serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN), yang dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa, tersebar di media sosial.
Selain itu, Eizlan dilihat menerima kad keahlian daripada Kelab Motosikal Alternative Rising Club (ARC), sebuah pertubuhan yang ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Namun begitu, Eizlan enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi tersebut, tetapi beliau mengakui kesungguhan untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan ummah dan menegakkan integriti sistem politik negara, seperti yang ditunjukkan oleh Pengerusi MN.
“Saya tak nak komen apa-apa mengenai perkara itu (masuk PAS). Tunggu sahaja pengumuman berkaitannya sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.
“Buat masa ini, saya hanya menjalankan tanggungjawab kerana diberi kepercayaan oleh Annuar untuk bersama MN yang berperanan sebagai platform NGO untuk melaksanakan program dan aktiviti ke arah kemuafakatan, perpaduan dan tanpa bersifat perkauman,” katanya.
Kelab Motosikal ARC telah membuka keahliannya kepada umum pada Disember 2022 lepas, dan sejak itu kelab itu telah mengumpulkan lebih 100,000 ahli.
Sumber: Gempak