Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah memulakan siasatan kepada dakwaan sabotaj terhadap filem Anwar: The Untold Story. Timbalan Menteri Teo Nie Ching, telah mengesahkan bahawa semua dakwaan akan diteliti, dan siasatan segera akan dijalankan sewajarnya.
Setakat ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak memberikan sebarang maklum balas atau laporan berhubung perkara itu.
“KKD akan buat siasatan sama ada tuduhan itu adalah benar atau sebaliknya. Namun saya percaya, lagi ramai penonton yang berminat menyaksikan filem ini, sudah tentu lagi banyak slot tayangan dan pawagam akan tayangkan filem ini,” katanya.
Kontroversi itu timbul apabila pihak produksi filem itu mendakwa terdapat pawagam tertentu yang sengaja menghalang tayangan filem biopik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu. Di sebalik pencapaian filem itu mengumpul RM1 juta pada hari pertama tayangan Khamis lalu, ia gagal memenuhi sasaran penerbit kerana slot tayangan yang dikatakan terhad.
Filem Anwar: The Untold Story adalah filem yang mengisahkan perjuangan Anwar Ibrahim berlatarkan masa antara tahun 1993 hingga 1998 berdurasi 108 minit, yang dilakonkan semula oleh Farid Kamil dan Acha Septriasa.
Sumber: Harian Metro