Penyanyi, dan komposer, Datuk Shake, telah menyatakan hasrat hatinya untuk pulang ke tanah air, tetapi mengakui cabaran untuk meninggalkan keluarga dan harta bendanya di Perancis.
“Cinta di hati saya terhadap Malaysia tidak pernah pudar. Tetapi kini keluarga adalah keutamaan saya, terutamanya anak dan cucu saya,” kata Datuk Shake.
Datuk Shake, kini berumur 73 tahun, telah berhijrah ke Perancis pada usia dua puluhan, di mana dia bertemu dengan pasangan jiwanya di Perancis, iaitu Datin Melina Shake Abdullah. Mereka dikurniakan empat anak, Mina, Natacha, dan kembar Nicholas dan Amaro, dan kini mempunyai tujuh cucu.
“Kebanyakannya (aset) di sana dan sudah tentu saya tidak boleh tinggalkan, terutama anak dan cucu saya, takkan saya nak jauh. Tak boleh. Ini pun dah rindu dah, jadi ia mustahil,” ujarnya.
Di sebalik hal keluarga dan kehidupan di Perancis, Datuk Shake masih kerap pulang ke tanah air, menghabiskan masa dua hingga empat bulan pada satu masa, menziarahi keluarga dan sanak saudaranya di Johor.
Dalam manjayakan konsertnya akan datang di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Disember 2023 anjuran InTour Live Events dan iMe Entertainment Group, Datuk Shake melahirkan rasa terujanya untuk membuat persembahan buat peminatnya di Malaysia.
“Saya sudah membuat persiapan diri untuk konsert ini dan semoga penjualan tiketnya mendapat sambutan baik daripada peminat. Ini kerana, saya bimbang juga apakah masih ada peminat saya akan datang ke konsert ini?
“Apapun, saya akan membuat yang terbaik untuk persembahan pada konsert ini dan teruskan memberi sokongan padu anda semua kepada saya,” katanya.
Datuk Shake, yang kekal aktif dalam persada muzik Perancis, fasih dalam tiga bahasa: Melayu, Inggeris dan Perancis. Dia merancang untuk mempersembahkan senarai set selama 90 minit yang menampilkan kira-kira 30 lagu, termasuk lagu hits “Umi,” “Anugerah Dari Kegalagan,” “Lina,” “Kau Bunga Ku,” dan “You Know I Love You” (tu sais je t’aime).
Sumber: Harian Metro