Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima, dan wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang berkemampuan. Ia bukan sekadar tuntutan agama pada bulan Zulhijjah, tetapi ia mempunyai makna yang cukup besar kerana ia memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS kepada Allah SWT.
Ibadah haji bertujuan untuk menanamkan sifat merendah diri, disiplin, dan budi pekerti di kalangan umat Islam. Namun begitu, trend perkongsian aktiviti ibadah seseorang khususnya tawaf di platform media sosial dilihat semakin berkembang.
Baru-baru ini, video seorang wanita menari di Makkah untuk kandungan media sosial menjadi tular sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai kesan negatifnya terhadap imej Islam dan kesucian tanah suci.
Sebagai menjawab kebimbangan orang ramai, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberikan penjelasan terperinci mengenai undang-undang berhubung kelakuan sedemikian semasa ibadah haji.
Soalan
“Apakah hukum menunaikan tawaf sambil melakukan live facebook atau IG?”
Jawapan
Kami berpendapat melakukan aksi seperti di atas adalah dibolehkan tetapi alangkah baiknya ditinggalkan. Ini kerana tawaf dan juga sa’ie termasuk dalam ibadat yang sepatutnya ditumpukan dalam acara ibadat seperti berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi SAW dan tawajjuh hati kepada Allah SWT.
Nabi SAW bersabda:
الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ
Maksudnya: “Tawaf mengelilingi Ka’bah seperti solat, hanya saja kamu (boleh) bercakap dalam tawaf. Barangsiapa berkata tatkala tawaf hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”
Riwayat al-Tirmizi (960)
Hal ini diperkukuhkan lagi oleh pendapat kebanyakan ahli ilmu, antaranya:
Kata Imam al-Tirmizi: “Dan yang beramal atas perkara ini di sisi kebanyakan ulama’. Justeru mereka berpendapat bahawa sunat seseorang yang sedang melakukan tawaf supaya tidak bercakap kecuali kerana keperluan atau kerana zikir kepada Allah atau kerana ilmu.” (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/285)
Perlakuan badan yang menjaga tatasusila serta adab ketika tawaf dengan memenuhi syarat serta hati yang sentiasa kehambaan dan tawaduk kepada Allah hendaklah diwujudkan ketika tawaf atau sa’ie. Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi diri terutamanya ketika beribadat kepada Allah SWT seperti tawaf dan sa’ie ini.
Sumber: Mufti WP