Netflix Malaysia telah menjelaskan bahawa Datuk Aaron Aziz, tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam filem Extraction 2. Sebaliknya, beliau cuma menghadiri tayangan perdana filem itu sebagai tetamu.
“Aaron Aziz dan Iedil Dzhuhrie Alaudin tidak terlibat dalam filem Extraction 2. Kedatangan mereka ke sana adalah bedasarkan undangan bagi mewakili Malaysia ke tayangan perdana,” respons agensi pengurusan Netflix di Malaysia, Maker Lab, selepas dihubungi Utusan Malaysia menerusi emel.
Aaron Aziz, bersama Iedil Dzhuhrie Alaudin, mendapat penghormatan mewakili Malaysia di acara permaidani merah, dan tayangan perdana bagi rantau APAC, yang telah diadakan di Manila.
Dalam acara tersebut, Aaron Aziz dan Iedil Dzhuhrie berpeluang bertemu dengan pelakon utama filem itu, Chris Hemsworth, dan pengarah Sam Hargrave. Mereka juga bergambar dengan bintang dari negara Asia Tenggara lain, termasuk Ananda Everingham dan Nawat Kulrattanarak.
Aaron Aziz meluahkan rasa terujanya di media sosial bertemu bintang aksi terkenal Chris Hemsworth dan Sam Hargrave di Manila.
Extraction 2, sekuel kepada filem pertamanya tahun 2020, akan tersedia untuk penstriman di Netflix mulai 16 Jun 2023 nanti.
Sumber: Utusan Malaysia