Kisah tragis pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam, sudah masuk hari ketiga selepas kejadian. Namun, salah satu cerita yang paling mengejutkan datang daripada seorang wanita yang mendakwa bahawa dua anaknya terselamat daripada nahas dalam kemalangan tersebut.
Wanita itu yang memuat naik di akaun TikToknya, @lilysazali22 berkata, anak-anaknya dalam perjalanan pulang dari sekolah menaiki kereta yang dipandu guru mereka. Kereta mereka hanya berada di hadapan kereta yang dirempuh pesawat berkenaan.
“Saya hampir kehilangan anak-anak saya semalam (Khamis), tetapi mereka dilindungi Allah.
“Allah gerakkan hati teacher (guru) untuk pecut. Sebak bila dia beritahu, hati dia cuma ingat anak-anak saya dekat belakang je. Dia cuma fikir nyawa anak saya masa tu.
“Yang paling sedih, anak saya tak pandai cakap, tak boleh bercerita macam anak-anak lain. Cuma sebut ‘teacher, boom.. boom’ tu je,” kongsinya dalam hantaran yang dibuat pada Jumaat.
Dia turut berkongsi video dari kamera dashcam kereta yang dinaiki anak-anak tersebut. Video itu menunjukkan bagaimana kereta guru itu memotong sebuah kereta putih beberapa saat sebelum pesawat itu merempuhnya. Kelihatan letusan api bersama asap hitam menjulang ke udara sebaik saja pesawat terhempas.
Kereta berwarna putih itu dipandu pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, yang kehilangan nyawa dalam kejadian berkenaan.
Wanita itu memanjatkan kesyukuran kepada Allah dan guru kerana telah menyelamatkan anak-anaknya daripada bencana tersebut. Dia berkata dia berhutang nyawa kepada guru itu, yang mempertaruhkan nyawanya untuk membawa anak-anaknya pulang dengan selamat.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah dan guru yang mempertaruhkan nyawanya untuk membawa anak-anak saya balik dengan selamat.
“Agak mengejutkan apabila berfikir bahawa perjalanan sejauh lima kilometer yang singkat boleh menjadi sangat berbahaya. Saya teringat ada terbaca petikan ayat mengenai musibah yang berlaku tetapi orangnya selamat… Ternyata doa ibu dan amal jariah adalah di sebaliknya.
“Saya percaya guru itu telah banyak melakukan kebaikan dan menjadi asbab anak-anak saya pulang dengan selamat,” tulisnya lagi.
Nahas pesawat itu meragut 10 nyawa secara keseluruhan, termasuk lapan orang di dalam pesawat ringan itu. Antaranya ialah Datuk Seri Johari Harun, Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Umno Bahagian Bentong.
Seorang pekerja penghantar makanan, Muhamad Hafiz, yang menunggang motosikal di jalan raya, turut maut apabila pesawat itu terhempas.
Sumber: Instagram