Laporan polis telah dibuat oleh pihak syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), berhubung isu tersebarnya dokumen sulit di media sosial, sempena pemberian sagu hati kepada kakitangannya bersempena Hari Raya 2023.
Pegawai undang-undang AKSB, Muhammad Amin Shamsudin, telah membuat laporan polis terhadap dua hantaran oleh individu yang dikenali sebagai Wan Mahussin Wan Zain, di Balai Polis Kota Bharu, petang semalam.
Menurut kenyataan AKSB, pemberian sagu hati kepada ahli lembaga pengarah dan kakitangan adalah untuk meringankan beban mereka dalam menyambut perayaan Aidilfitri, seperti mana amalan yang biasa dilakukan dalam syarikat lain.
Dalam dokumen sulit tersebut, dinyatakan bahawa ahli lembaga pengarah AKSB diberi sagu hati sebanyak RM10,000 setiap individu, manakala kakitangan diberi RM200 dan setiausaha syarikat pula menerima RM2,000.
Isu pemberian sagu hati kepada ahli lembaga pengarah itu mengundang kritikan netizen berikutan jumlahnya yang besar, masalah bekalan air bersih di negeri Kelantan masih tidak selesai, namun pihak tertinggi syarikat masih diberikan wang sagu hati yang banyak.
Sesetengah warga netizen berpendapat walaupun pemberian sagu hati itu amalan biasa dilakukan oleh pihak syarikat, tetapi dari segi moralnya tidak betul.
Sumber: Facebook