Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu secara kontrak untuk tempoh dua tahun, bermula 23 Jun 2023.
Pelantikannya sebagai pengganti kepada Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang baru-baru ini mengumumkan persaraan awal beliau. Keputusan itu dibuat berikutan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan perakuan Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan Razarudin Husain mempunyai sejarah kerjaya yang terpuji. Beliau pada mulanya berkhidmat sebagai Pegawai Penyiasat Kanan di Mahkamah Daerah Muar, dan Jabatan Siasatan Kontinjen Johor pada 1998.
“Razarudin berumur 61 tahun, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor.
“Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.
“Beliau memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor.
“Beliau kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada tahun 1997,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Kemudian, pada 2000, beliau menyertai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang, sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej PDRM Cheras.
“Kemudian beliau ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan.
“Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat dan berkhidmat selama tiga tahun di situ. Beliau kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintenden dan
menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.“Sekembalinya dari belajar, beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman dan setelah itu beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ,” katanya.
Sepanjang kerjayanya, Razarudin Husain menaiki pangkat dengan memegang jawatan seperti Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, dan Timbalan Ketua Polis Perak.
Beliau akhirnya dinaikkan ke pangkat Pesuruhjaya Polis, berkhidmat sebagai Ketua Polis Perak. Bermula dari situ, beliau seterusnya menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun, sebelum memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 2021 sehingga kini.