Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan kepada bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta denda RM10 juta, bagi empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana ARMADA BERSATU.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid, menjatuhkan hukuman itu selepas mempertimbangkan dengan teliti hujah-hujah yang dikemukakan peguam bela bagi pengurangan hukuman dan hujah pemberat hukuman pihak pendakwaan.
Meliau turut membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu keputusan rayuannya. Syarat ikat jamin yang dikenakan ke atas Syed Saddiq kekal berkuat kuasa sepanjang tempoh ini.
Semasa rayuan mitigasi, peguam bela Syed Saddiq, Haijan Omar, merayu dikenakan hukuman ringan, menekankan status Syed Saddiq yang belum berkahwin dan peranannya sebagai anak bongsu daripada empat beradik. Beliau turut menekankan tanggungjawab yang dipikul Syed Saddiq dalam menjaga ibu bapanya yang berumur 66 dan 62 tahun, yang kedua-duanya merupakan pesara kerajaan.
Peguam bela kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa bapa Syed Saddiq baru-baru ini menjalani pembedahan katarak, manakala ibunya sedang melawan kanser payudara.
Haijan Omar seterusnya meyatakan sumbangan Syed Saddiq semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan dari 2018 hingga 2020. Beliau memuji pengiktirafan global Syed Saddiq sebagai menteri termuda Asia dan peranan pentingnya dalam menerajui pindaan perlembagaan bersejarah negara, Undi18, yang memberikan hak mengundi kepada lebih tiga juta anak muda Malaysia bermula dengan Pilihan Raya Umum ke-15.
Antara pencapaian ketara Syed Saddiq, peguam bela itu menyebut kenaikan elaun latihan daripada RM300 kepada RM900, serta usaha beliau dalam meningkatkan reputasi Malaysia dalam bidang e-Sukan.
Haijan Omar turut menekankan inisiatif Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar, di mana beliau memperoleh dana untuk menderma komputer riba dan tablet kepada ribuan pelajar kurang berkemampuan di kawasannya.
Dalam hujah berasingan, peguam Syed Saddiq yang lain, Gobind Singh Deo, menggesa mahkamah mempertimbangkan faktor pengurangan bahawa semua pihak yang terlibat mengakui penggunaan dana itu secara bukan peribadi oleh Syed Saddiq. Gobind Singh Deo menekankan bukti yang dikemukakan, yang menunjukkan bahawa dana itu digunakan untuk membantu individu semasa pandemik COVID-19 dan tujuan amal lain.
Gobind Singh Deo juga meminta mahkamah mempertimbangkan hujah pembelaan sebelum menjatuhkan hukuman.
Sumber: Berita Harian