Seorang wanita meninggal dunia secara tragis di rumah sewanya di Sabah pada 9 Mei 2023 lepas, hanya empat hari selepas melahirkan anak pertamanya. Suaminya, Exly Jailon, menemui isterinya yang sudah tidak bernyawa apabila dia pulang dari kerja, meninggalkan bayi mereka yang berumur empat hari menangis kelaparan di sebelahnya.
“Saya tidak tahu dari jam berapa isteri sudah kehilangan nyawa. Anak kami meraung menangis kelaparan. Sakit bila kehilangan orang tersayang. Kejadian ini tidak akan berlaku jika permohonan cuti saya diluluskan,” katanya.
Exly, bekerja sebagai pemandu penghantaran, telah meminta cuti lanjutan untuk membantu isterinya menjaga bayi mereka yang baru lahir. Malangnya, permohonannya ditolak, hanya memberinya cuti dua hari. Walaupun menghadapi kesukaran, Exly tidak mempunyai pilihan selain menerima keputusan tersebut. Sehinggalah pada hari kejadian, dia terkejut apabila mendapati isterinya meninggal dunia, tanpa penjelasan yang jelas mengenai punca kematiannya.
“Bayangkanlah, balik-balik dari kerja, isteri sudah tidak bernyawa. Anak yang baru berusia empat hari menangis kelaparan di sisi ibunya yang sudah kaku tidak bernyawa.
“Saya bermati-matian bekerja dengan syarikat ini dan gara-gara itu jugalah bila saya balik dan buka pintu, nampak isteri sudah keras tidak bernyawa.
“Semasa isteri saya bersalin, mereka juga suruh datang bekerja. Bila isteri dah meninggal, senang pula mereka kata turut bersedih di atas pemergian isteri saya,” katanya.
Selepas kematian isterinya, Exly dan keluarganya berkabung. Dalam tempoh dia berkabung itu syarikat tempat dia bekerja telah memotong gajinya selama 13 hari, menyebabkan dia dalam keadaan tidak menentu kerana dia sangat memerlukan duit untuk mengurus anaknya yang masih kecil.
Warga netizen prihatin terhadap keadaan Exly, dan menggesa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majikannya.
Sumber: Facebook