Seorang lelaki bernama Syed Fakrulrazi Syed Abdul Rahman, didakwa di mahkamah kerana mencederakan isterinya hingga parah selepas isterinya enggan melakukan hubungan seks bersamanya. Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Pertuduhan pertama menuduhnya dengan sengaja menyebabkan kecederaan serius terhadap isterinya dengan menghantukkan kepala ke hidung isterinya di rumah mereka pada 12 Februari lepas.
Kesalahan tersebut boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun atau denda. Pertuduhan kedua mendakwa dia secara jenayah menakutkan isterinya dengan mengugut untuk membunuhnya pada masa dan tempat yang sama. Kesalahan ini membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Kejadian berlaku apabila tertuduh berang selepas isterinya menolak pelawaan seks.
Dalam prosiding mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan tidak diberikan bagi pertuduhan pertama sebagaimana tertakluk di bawah seksyen. Bagaimanapun, sekiranya mahkamah memutuskan untuk memberikan jaminan, beliau mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 kepada tertuduh.
Syarat tambahan juga dicadangkan untuk mewajibkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada hari pertama setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah, dan tidak menghubungi atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Tertuduh yang diwakili Peguam Ishak Mohd Kari memohon jumlah jaminan yang lebih rendah berikutan tanggungjawabnya menyara empat anak selain isterinya yang telah memulakan prosiding perceraian di Mahkamah Syariah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menerima kesemua syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan. Kes itu dijadualkan sebutan semula pada 10 Julai ini.
Sumber: The Star