Pendaki Malaysia RJ Nagarajan, 59, berjaya sampai ke puncak Gunung Everest pada hari Isnin, menurut kenyataan dari Mohd Khafiz Bachok, Pengasas Program Misi ZEROTO8000.
Nagarajan mencapai kejayaan ini pada jam 10:30 pagi, mendaki puncak tertinggi dunia Gunung Everest pada ketinggian 8,850 meter dari aras laut.
“Beliau juga menjadi rakyat Malaysia ke-4 berjaya mendaki semua tujuh puncak tertinggi di tujuh benua yang di kenali sebagai “World 7 Summit”. World 7 Summit merupakan antara pencapaian tertinggi di dunia dalam dunia pendakian,” jelasnya.
Sebagai ahli pasukan ZEROTO8000, pencapaian Nagarajan melambangkan semangat berdikari Malaysia dalam mengejar impian dan mencapai kejayaan.
“Menurut beliau, setiap rakyat Malaysia harus berusaha berdikari dalam mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.
“Beliau sendiri melakukan semua pendakian ini dengan bekerja keras mengumpul dana sendiri dan kini terbukti beliau telah berjaya dan semangat inilah yang sedang diterapkan di dalam minda rakyat Malaysia oleh ZEROTO8000, bukan hanya dalam aktiviti pendakian, tetapi dalam apa jua impian yang dimiliki oleh mereka,” jelas Mohd Khafiz lagi.
Sebelum kejayaannya di Gunung Everest, Nagarajan telah mendaki pelbagai puncak yang menonjol di seluruh dunia, termasuk Gunung Aconcagua di Argentina (6,961 meter), Gunung Denali di Amerika Syarikat (6,194 meter), Gunung Kilimanjaro di Tanzania (5,895 meter), Gunung Elbrus di Rusia (5,642 meter), Gunung Vinson di Antartika (4,892 meter), dan Gunung Kosciuszko di Australia (2,228 meter).
Sumber: Astro Awani