Empat lelaki terselamat daripada kemalangan yang boleh mengakibatkan mereka maut, selepas kenderaan yang mereka naiki dilanggar kereta api akibat penghadang jalan yang tidak berfungsi di laluan kereta api.
Kejadian tersebut berlaku di Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut di Papar, Sabah. Sebuah kamera dashboard merakam detik mengerikan itu dan rakaman itu dikongsi di media sosial.
Dalam video tersebut, jalan raya kelihatan lengang apabila kenderaan Perodua Rusa berwarna putih itu cuba melintasi landasan kereta api tanpa penghadang.
Tiba-tiba, sebuah kereta api menghampiri dari kiri, memaksa penghuninya melompat keluar dan menyelamatkan diri. Menurut seorang netizen yang berkongsi kejadian itu, kenderaan itu diseret beberapa ratus meter oleh kereta api tersebut.
Pemandu van berusia 42 tahun itu cedera ringan manakala tiga lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemandu kereta api itu hanya melihat kenderaan itu 20 meter di hadapan, menyebabkan perlanggaran tidak dapat dielakkan.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta api dalam perjalanan dari Sembulan menuju ke Beaufort.
“Ketika kejadian, pemandu kereta api terbabit mendapati sebuah van jenis Perodua Rusa masuk dan berhenti di atas landasan kereta api.
“Pemandu kereta api membunyikan hon isyarat semasa menghampiri kawasan dan cuba menekan brek namun gagal berhenti dan seterusnya melanggar kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, penjaga palang ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana telah menyebabkan kecederaan dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.
“Siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati palang untuk menutup laluan jalan raya di landasan itu tidak berfungsi.
“Namun, terdapat seorang penjaga palang berada di lokasi yang berdiri di bahagian kanan pondok lintasan kereta api dan hanya dapat menahan kenderaan yang lalu dari satu lorong sahaja.
“Pemandu kenderaan Perodua Rusa pula mengatakan bahawa dia tidak menyedari ada kereta api yang lalu di kawasan itu dan ketika kejadian dia tidak berhenti semasa menghampiri laluan kereta api kerana palang tidak diturunkan atau laluan tidak ditutup.
“Semasa pemandu lalu di landasan, enjin keretanya tiba-tiba mati dan menyebabkan ia tidak dapat bergerak sebelum dirempuh kereta api berkenaan,” katanya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu digesa menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Inspektor Wong Yew Zhung di talian.
Sumber: Facebook