Sarawak bakal memperkenalkan sistem peperiksaannya sendiri bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Sistem baharu itu akan menjadi peperiksaan khas untuk semua murid tahun enam di semua sekolah kerajaan di negeri tersebut.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, peperiksaan itu akan menyerupai UPSR yang telah dimansuhkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2021.
Jelas Sagah, kerajaan negeri memperkenalkan sistem peperiksaan sendiri kerana percaya ia memberi manfaat kepada pelajar.
“Perkara ini bergantung kepada dasar Persekutuan. Bagaimanapun, kami di Sarawak akan berusaha untuk mempunyai sistem penilaian sendiri.
“Ini kerana kita percaya itu satu-satunya kaedah untuk kita mengetahui prestasi sebenar pelajar,” katanya.
Sagah juga menyatakan bahawa sistem peperiksaan baharu itu akan diselaraskan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Sarawak 2025-2035, yang bertujuan untuk mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia untuk pelajar Sarawak.

“Saya rasa Kerajaan Persekutuan ada melakukan tinjauan untuk mengumpul maklumat dan pandangan mengenai perkara ini daripada kalangan masyarakat.
“Secara peribadi, saya belum melihat pelan tindakan kurikulum dicadangkan, jadi saya tidak boleh komen dan seadilnya saya tidak dapat komen benda yang saya tidak lihat,” katanya lagi.
KPM masih belum mengeluarkan sebarang butiran mengenai kurikulum baharunya sendiri, yang dijangka dilaksanakan pada 2024. Sagah berkata, kerajaan Sarawak masih menunggu untuk menerima lebih banyak maklumat daripada KPM sebelum ia boleh mula membangunkan kurikulumnya sendiri.
Sumber: Utusan Malaysia