Seorang wanita dan rakan-rakannya terkejut apabila mendapati rumah sewa mereka disimbah cat merah dan surat ugutan ditinggalkan di depan pintu rumah mereka.
Wanita yang dikenali sebagai Rozanah Maikon itu berkata, dia dan rakan-rakannya baru sahaja berpindah ke rumah di Villa Impiana, Taman Pelangi Semenyih, Selangor, Mei lalu.
“Kejadian ni baru pertama kali kami alami. Hampir tidak bernafas dibuatnya. Kami baru berpindah di Villa Impiana Taman Pelangi Semenyih ni bulan Mei lalu.
“Rumah kami disimbah cat minyak, pagar dikunci dan surat ugutan diletakkan seperti saya lampirkan,” tulisnya.
Surat yang ditulis itu menuntut penyewa membayar hutang yang terhutang oleh penyewa terdahulu. Surat itu juga mengugut untuk membakar rumah tersebut jika hutang tidak dibayar.
Rozanah Maikon berkata, dia telah menghubungi polis dan membuat laporan. Dia juga berharap penghutang sebenar akan tampil dan membayar balik hutang itu, supaya dia dan rakan-rakannya dapat hidup dengan aman.
“Kepada Ah Long yang simbah dan ada masalah dengan penghutang seperti nama di atas, saya ingin maklumkan kamu tersalah orang sebab orang yang kamu cari itu adalah penyewa lama rumah ini. Kami cuma penyewa baru dan tiada kena mengena dengan orang yang kamu cari.
“Kenapa kami jadi mangsa sehingga kami hidup dalam ketakutan? Kepada yang mengenali penama tersebut, tolong selesaikan masalah kamu, jangan libatkan nyawa orang lain yang tidak bersalah.
“Kami ni perantau mencari rezeki di tempat orang, kami tidak sanggup hidup dalam ketakutan, walhal bukan salah kami,” tegasnya.
Jika anda diganggu oleh pemungut hutang, anda boleh menghubungi pihak polis atau Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (CPAM).
Sumber: Facebook