Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya melanggar lampu isyarat merah dan merempuh sebuah kereta di Lebuhraya Tun Dr. Lim Choong Eu berhampiran Astaka Seagate di Bayan Lepas, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Kamarul Rizal Jenal, berkata dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, remaja lelaki berusia 18 tahun itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederan parah manakala pemandu kereta Proton Persona iaitu remaja lelaki berusia 18 tahun cedera di tangan kiri.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa dari arah Batu Maung telah melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kereta yang sedang membelok ke kanan di laluan berkenaan.
“Siasatan menunjukkan pemandu kereta itu menuju ke arah restoran nasi kandar di Jalan Tengah dari Queens Waterfront. Apabila kereta itu tiba di lampu isyarat Astaka Seagate, ia membelok ke kanan kerana lampu bertukar hijau.
“Tiba-tiba motosikal itu datang dari arah bertentangan dan melanggar kereta. Akibatnya, pemandu kereta itu mengalami kecederaan di tangan kiri manakala penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Kamarul Rizal mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan berkaitan lalu-lintas dan menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Video kemalangan itu turut tular di media sosial dan berdasarkan video berdurasi 16 saat tersebut, mangsa dilihat menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ dan sedang bersaing bersama seorang rakannya.
Sumber: Twitter