IMG 20230220 WA0050
in

Ramai guru menjadi pengawas dan penanda kertas SPM 2022 belum terima bayaran sehingga kini

Beberapa guru yang berkhidmat sebagai pengawas dan penanda peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 melaporkan mereka masih belum menerima bayaran dan upah sehingga kini. Tangkapan skrin yang dikongsi oleh cikgu Mohd. Fadli Salleh daripada kumpulan Kami Guru Malaysia (KGM) di Facebook menunjukkan kekecewaan dan kebimbangan ramai warga pendidik berhubung pembayaran yang lama tertangguh.

“Dalam Islam, upah harus dibayar sebelum keringat kering. Dah la bayaran tidak setimpal dengan bebanan tugas, tuntutan bayaran yang dibuat kena potong dan lambat bayar pula.

“Harap Lembaga Peperiksaan Rasmi (LPM) ambil serius isu ini,” tulisnya.

Guru-guru itu meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan bilakah mereka akan menerima bayaran mereka, lebih-lebih lagi keputusan SPM telah pun diumumkan pada 8 Jun lalu. Beberapa guru berkongsi bahawa mereka hanya dibayar RM4 untuk menanda kertas yang mengandungi hampir seratus markah dan mengandungi 50 hingga 60 helaian muka surat. Keadaan ini telah mendorong perbincangan mengenai kewajaran gaji yang diberikan kepada penanda kertas SPM di seluruh Malaysia.

“Keputusan sudah keluar, bayaran masih tak dapat. Begitulah kita cikgu diperlakukan. Bayaran sudahlah tak setimpal. Zaman dah berubah. Macam-macam tuntutan untuk menanda.

“Peranti sendiri, data sendiri. Skema tak boleh dicetak. Masa menanda perlu curi-curi antara mengajar.

“Yang saya terkesan sekali bila dapat tahu tentang bayaran. Kertas amali Sains yang hanya ada sikit soalan, soalan penuh hanya dalam dua muka surat, jumlah markah kurang dari 20 markah, bayarannya RM3,” luah guru tersebut.

SPM 2022 menyaksikan seramai 373,974 calon di seluruh negara yang menduduki peperiksaan itu dari Februari hingga Mac. Pengumuman keputusan mendedahkan bahawa 10,109 calon mencapai gred cemerlang (A+, A, dan A-) dalam semua mata pelajaran.

Sumber: Kosmo Digital

irakza syamsul

Ira Kazar pertama kali kongsi gambar suaminya Syamsul Yusof di Instagram

woman using mobile phone while driving a car 2

Meletak telefon di riba pun sebenarnya boleh kena saman RM1,000