Insiden ketukan pintu rumah penduduk di Felda Air Tawar 5 kelmarin menimbulkan pelbagai andaian termasuk dikhuatiri berlaku jenayah dan tidak kurang beranggapan ia kejadian mistik.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu, bagaimanapun telah menghantar anggotanya untuk melakukan pemantauan lanjut.

“Kita difahamkan kejadian itu berlaku ke atas seorang warga emas berusia 60-an pada waktu malam apabila pintu dibuka tiada orang kemudian warga emas itu menutup semula pintu dan tiada apa-apa berlaku kepada wanita tersebut.
“Pihak polis juga telah mendapatkan maklumat dari ketua blok dan seterusnya menghantar pasukan untuk membuat rondaan sekiranya perkara yang mencurigakan berlaku.
“Siasatan awal kita mendapati kejadian ketukan pintu rumah itu hanya berlaku di sebuah rumah melibatkan satu malam sahaja dan bukan melibatkan ramai penduduk,” katanya.
Hussin berkata, setakat ini, dia masih tidak mempunyai maklumat bahawa ketukan pintu itu dilakukan oleh orang tempatan atau orang luar, tetapi bimbang juga jika ia adalah kerja sekumpulan ‘orang sakit’.
Beliau berkata, justeru beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk kampung itu supaya sentiasa menyimpan nombor balai polis berhampiran.
Sumber: Kosmo Digital