Sebanyak 30 bahan letupan yang digunakan untuk kuari itu dipercayai hilang baru-baru ini.
Kejadian itu disedari kira-kira jam 8.25 pagi 14 November lalu, selepas dua pekerja mahu menurunkan bahan letupan di sebuah kuari yang terletak dekat Puchong.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu kira-kira jam 10.28 malam hari sama daripada seorang lelaki berusia 28 tahun.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, didapati lelaki itu bersama rakannya membawa bahan letupan menggunakan kenderaan pacuan empat roda Navara milik syarikat mereka, kira-kira jam 5.50 pagi untuk dihantar ke kuari di kawasan Puchong.
“Semasa di Sistem Lingkaran-Lebuh Raya Kajang (SILK), lelaki itu perasaan terdapat sebuah kenderan dari arah belakang telah memberi lampu isyarat.
“Ini sebagai pemakluman but belakang pacuan empat roda dinaiki mereka itu telah terbuka,” katanya.
Lelaki itmemberhentikan kenderaan, dan menutup but pacuan empat roda itu tanpa mengesyaki ada yang hilang.
Apabila lelaki itu dan rakannya tiba di kuari, mereka mendapati kotak yang mengandungi 30 bahan letupan penggalak tuang 400GMS telah tiada.
“Pemeriksaan telah dibuat mereka di kawasan dilalui namun gagal menemui kotak mengandungi bahan letupan tersebut,” ujarnya.
Ahmad Ridhwan menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana cuai membabitkan bahan letupan.
Justeru, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau menjumpai bahan letupan diminta tampil ke balai polis atau menghubungi bilik gerakan di talian 03-31872222 atau pegawai penyiasat, Sarjan Zulfadzly menerusi 016-4123834.
Sumber: Kosmo Digital