Pokok getah tertua di Malaysia yang memainkan peranan penting dalam mencetuskan industri getah negara kini bernilai hampir RM200,000 pada usia 146 tahun.
Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Saiful Azli Mohamed Nor, menyatakan bahawa pokok warisan itu secara saintifiknya dikenali sebagai Hevea brasiliensis, memerlukan penyelenggaraan dan rawatan rapi, dengan kos kira-kira RM3,000 hingga RM5,000 setahun.
“Nilai semasa bagi pokok getah ini adalah RM194,183. Pokok getah ini termasuk dalam senarai pokok warisan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.
“Oleh kerana usianya yang mencecah 146 tahun, pokok ini tidak mempunyai simpanan tenaga yang mencukupi untuk memperbaiki strukturnya sendiri, jika berlaku sebarang kerosakan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Pemangkasan pokok dilakukan setiap tahun dengan kos antara RM1,000 hingga RM3,000, bergantung kepada kerumitan kerja. MPKK turut menyediakan rawatan kulat dan penggunaan baja yang berjumlah RM500 hingga RM1,000.
“Tidak lupa pemeriksaan kesihatan dan penilaian lanjutan yang dilakukan dua tahun sekali, kos anggaran bagi pemeriksaan ini adalah RM500 hingga RM2,000 bergantung kepada keadaan semasa pokok itu,” katanya.
Sejarah pokok itu bermula pada tahun 1877 apabila kumpulan pertama benih pokok getah dibawa dari Kew Gardens, England, ke Semenanjung Tanah Melayu. Sebahagian daripada benih ini telah ditanam di Taman Botani Singapura, manakala baki sembilan anak pokok telah ditanam di Kuala Kangsar oleh HJ Burton, Penguasa Taman Botani Singapura.
Selama bertahun-tahun, di tengah-tengah era dan peristiwa sejarah yang berbeza, hanya pokok ini menjadi saksi kepada kemajuan negara, termasuk pemodenan Kuala Kangsar.
Bagaimanapun, Saiful Azli berkata jangka hayat pokok yang sudah tua itu tidak dapat dianggarkan.
“Pihak kami cuba mengekalkan hayat pokok getah ini dengan memberi rawatan dan penjagaan yang sepatutnya,” katanya.
Sumber: Harian Metro