Sebuah kemalangan yang mengejutkan berlaku antara motosikal dan kereta di Jalan Felda Lui Selatan, di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5:17 petang Ahad itu, dirakamkan pada kamera dashcam, dan kemudiannya tular di media sosial.
Menurut laman Facebook Info Kemalangan & Bencana Malaysia, penunggang motosikal itu dilihat cuba memotong melawan arus, sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Viva.
Rempuhan itu menyebabkan penunggang motosikal itu terbang ke udara beberapa saat, manakala motosikalnya terbabas di atas jalan, dan kereta merempuh ke semak berhampiran.
Ketika laporan ini dibuat, tiada maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu. Pihak berkuasa masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.
Sumber: Facebook