Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menasihatkan orang ramai agar tidak terkejut melihat pesawat tentera terbang rendah di ruang udara sekitar Putrajaya. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sedang bersiap sedia untuk Perbarisan Panji-Panji 2023 yang diketuai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Menurut kenyataan TUDM baru-baru ini, latihan perbarisan yang diketuai oleh YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, akan dijalankan mulai hari ini sehingga acara utamanya pada 10 Jun 2023 nanti. Latihan itu akan berlangsung di sekitar Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya.
“Perbarisan itu akan melibatkan terbang lintas hormat beberapa pesawat helikopter daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihatpesawat-pesawat tentera terbang rendah yang dapat disaksikan di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang terutamanya di ruang udara Putrajaya,” kata kenyataan yang sama.
Sumber: Malaysia Gazette