Kemaskini: Tangkapan telah dilakukan terhadap pemilik anjing berusia 61 tahun itu kira-kira 10.05 malam semalam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson dan direman sehari. Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Pemilik ladang ayam, Rajes Donarow, terkejut apabila dia menyaksikan sesuatu yang mengerikan di luar rumahnya Sabtu lalu.
Dia melihat seorang lelaki dari kampungnya mengheret seekor anjing yang dirantai ke belakang kereta.
Rajes segera bertindak mengejar lelaki itu dengan motosikalnya, dan memberi isyarat supaya dia berhenti, tetapi lelaki itu tidak mengendahkan rayuannya.
“Kemudian saya memotong ke hadapan kereta itu dan menghalangnya, saya tarik keluar kunci kereta.
“Saya tanya dia kenapa tarik anjing tersebut dengan cara yang sebegitu kejam, kenapa tak guna lori atau kereta pacuan empat roda,” kata Rajes.
Menurut Rajes, lelaki itu mendakwa dia hendak memindahkan anjing itu ke ladang lain, kira-kira dalam jarak dua kilometer, kerana anjing itu enggan menaiki lori.
Bagaimanapun, apabila Rajes membebaskan anjing itu daripada rantainya, anjing yang cedera segera melompat ke dalam kereta. Rajes seterusnya menghubungi polis, dan pada masa itu orang ramai telah berkumpul di sekeliling lelaki itu dengan anjing yang sudah cedera parah.
Apabila polis tiba di tempat kejadian, polis meminta Rajes dan pemilik anjing datang ke balai untuk membuat laporan.
“Saya juga diminta untuk membawa perkara ini ke perhatian Jabatan Perkhidmatan Verterinar,” kata Rajes.
Rajes bimbang anjing itu mungkin tidak terselamat daripada kecederaan parahnya, kerana ia telah mengalami pendarahan yang banyak.
Ibu pejabat polis daerah Lukut mengesahkan bahawa kedua-dua lelaki itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Insiden mengejutkan itu mendapat perhatian warga netizen di media sosial, ramai meluahkan kemarahan mereka dan menuntut hukuman sewajarnya kepada pelaku tersebut.
Sumber: The Star