Jabatan Imigresen Malaysia merancang untuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri bagi menjelaskan peraturan perkahwinan pemegang PLKS dan warga tempatan.
Di bawah Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155), pekerja asing dilarang berkahwin dengan warga tempatan semasa memegang PLKS. Kegagalan untuk mematuhi peraturan ini boleh mengakibatkan pembatalan automatik permit kerja mereka dan pengusiran serta-merta dari negara.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan rakyat tempatan khususnya wanita yang berisiko ditinggalkan pasangan masing-masing jika berkeras mahu berkahwin dengan pemegang PLKS.
Bagi menangani isu ini, Jabatan Imigresen sedang berusaha mewujudkan garis panduan dan prosedur operasi standard yang jelas bagi permohonan perkahwinan melibatkan pasangan asing dan tempatan.
Jabatan itu menegaskan ia tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan perkahwinan termasuk bagi pasangan tempatan dan pemegang PLKS. Bagaimanapun, ia boleh menamatkan permit kerja pemegang PLKS yang melanggar Akta Imigresen dengan mengahwini warga tempatan tanpa kebenaran.
Wanita tempatan yang berkahwin dengan pekerja asing yang tidak mematuhi syarat dan prosedur perkahwinan yang ditetapkan oleh imigresen juga boleh didakwa kerana melindungi pendatang tanpa izin. Sabit kesalahan ini boleh didenda sehingga RM10,000, penjara sehingga lima tahun dan enam sebatan.

Jabatan Imigresen menggesa warga asing yang ingin berkahwin dengan warga tempatan supaya mengisi borang khas dengan lengkap termasuk maklumat majikan. Ini akan membantu memastikan warga asing terbabit dibenarkan berkahwin di bawah undang-undang Malaysia.
Sumber: Berita Harian