Pegawai polis wanita yang kerap menjadi tular dengan beberapa kejadian baru-baru ini telah digantung tugas sejak minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mendedahkan dua kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Kertas itu telah dirujuk ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas pada 19 Jun. Selain itu, Jabatan Integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan enam siasatan tatatertib terhadap individu tersebut.
“Dengan kenyataan ini, masyarakat khasnya akan mendapat tahu bahawa pihak polis mempunyai kaedah dan mekanisme jelas untuk menghadapi perilaku yang sebegini.
“Perilaku sebegini boleh menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat, boleh juga beri sedikit sebanyak persepsi terhadap pasukan polis.
“Kita biarkan pasukan polis guna pakai undang-undang berkaitan dan gunakan saluran dalaman seperti Jabatan Integriti untuk menguruskan,” katanya.
Tempoh penggantungan akan bergantung pada hasil siasatan, dan jika pegawai didakwa di mahkamah, penggantungan akan diteruskan sehingga disabitkan kesalahan.
Kenyataan ini dibuat oleh Menteri Dalam Negeri semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Kuala Lumpur.
Sumber: Astro Awani