Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, telah menyatakan sokongan terhadap penciptaan badan kawal selia untuk kecerdasan buatan (AI). Guterres percaya bahawa badan sedemikian boleh berfungsi sama seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
“Saya menyokong idea ini, dunia memerlukan agensi untuk memantau kecerdasan buatan. Ia diinspirasikan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
“Saya percaya ada beberapa perkara penting perlu diberi perhatian untuk terus melangkah ke hadapan. Ia memerlukan inisiatif daripada negara-negara anggota. Kami akan menjadi pusat rangkaian dan pergerakan yang akan diwujudkan ini,” katanya.
Pertumbuhan pesat teknologi AI, termasuk aplikasi seperti ChatGPT, telah menimbulkan kebimbangan mengenai potensi penyebaran maklumat palsu. Untuk menangani kebimbangan ini, Guterres telah mengumumkan rancangan untuk melancarkan rangka kerja badan penasihat AI menjelang akhir tahun ini.
OpenAI, pencipta ChatGPT, juga telah mencadangkan penubuhan badan kawal selia untuk teknologi AI, yang diilhamkan oleh IAEA. Perdana Menteri Britain Rishi Sunak telah menyatakan sokongan untuk cadangan ini, menyasarkan UK untuk menjadi hab kawal selia AI global. Selaras dengan ini, UK merancang untuk menganjurkan sidang kemuncak untuk penyelarasan antarabangsa untuk menangani risiko yang berkaitan dengan AI.