Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah mendedahkan bahawa vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh, ventilator yang tidak digunakan, dan lebihan stok boot cover telah menelan belanja Malaysia berjuta-juta ringgit.
Dalam laporan yang dikeluarkan di laman web Parlimen hari ini, PAC berkata kira-kira 10% atau 8.5 juta dos vaksin Covid-19 yang dianggarkan bernilai RM505 juta telah tamat tempoh setakat Jun lalu.
Laporan itu mengaitkan lebihan vaksin itu disebabkan penerimaan rendah terhadap vaksin Covid-19, terutamanya dos penggalak.

“Punca lebihan vaksin adalah kerana sambutan vaksinasi Covid-19 yang rendah (khususnya dos penggalak) disebabkan pengambilan dos penggalak adalah secara sukarela serta takut kepada kesan sampingan vaksin ekoran penyebaran maklumat tidak benar.
“Dan penerimaan bekalan vaksin di mana vaksin yang ditempah tidak diterima mengikut jadual susulan permintaan global yang sangat tinggi,” menurut laporan itu.
PAC juga mendapati 136 ventilator tidak dapat digunakan selepas perolehan dibuat dari China. Masalah semua ventilator ialah titik palam ventilator yang diterima adalah berbeza daripada mata palam yang digunakan di Malaysia.
Laporan itu juga menyebut terdapat lebihan jumlah stok untuk ‘boot cover’ pada 9 Jun lalu iaitu sebanyak 2.23 juta dan baki stok dijangka bertahan sehingga akhir 2025 berdasarkan kadar penggunaan semasa.

“Bagaimanapun, terdapat risiko lebihan 850,000 unit stok boot cover, yang akan luput pada penghujung 2024 bernilai RM 927,000 jika tidak dapat digunakan,” katanya.
Antara rumusan PAC ialah pemerolehan kesemua barangan itu dibuat dalam situasi dan kekangan luar biasa akibat penularan wabak Covid-19.
Sumber: FMT