Anak sulung kepada mangsa kemalangan maut di Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan suspek mengelak tanggungjawab dengan tidak menghubungi langsung pihak hospital selepas kejadian tersebut.
“Kami sekeluarga tidak dapat menerima perbuatan suspek yang melarikan diri dan langsung tidak cuba mencari kami untuk memohon maaf.
“Malah suspek juga tidak berusaha menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan pertolongan buat arwah ayah,”
Walaupun suspek bersalah menyebabkan kematian arwah bapanya, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, dia sangat berharap sekurang-kurangnya suspek mencari keluarga dia untuk memohon maaf.
Muhammad Hafidz, anak lelaki mangsa, menerima perkhabaran tersebut apabila polis tiba di rumah mereka untuk memaklumkan kejadian tragis itu kepada ibunya. Pada awal, Hafidz memikir ayahnya hanya mengalami patah kaki atau kecederaan ringan sahaja.
“Pada mulanya, saya menjangkakan ayah hanya mengalami kecederaan atau patah kaki.
“Saya sudah bertekad untuk menjaganya. Namun ALLAH lebih menyayangi arwah dan menjemputnya menerusi kejadian ini,” ujarnya.
Meskipun begitu katanya, ada perkara baik yang disampaikan oleh pihak hospital mengenai arwah ayahnya.
Jelasnya, arwah dipercayai terus dijemput Ilahi sebaik sahaja terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.
“Apabila terhentak ke tanah, saraf tunjang arwah ayah di tengkuk dipercayai telah terputus.
“Atas asbab itu, arwah ayah pergi dengan cepat tanpa ada sebarang kesakitan.
“Saya mohon semua yang mengenali arwah ayah untuk mendoakan kebaikan buatnya dan berada dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh,” pintanya penuh mengharap.
Sumber: Sinar Harian